Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun;
Budi tuan saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.
Anak dara berkain cukin,
Dari Daik bulan puasa;
Tidak kira kaya miskin,
Asalkan baik budi bahasa.
Anak ikan dimakan ikan,
Manakan sama ikan tenggiri;
Mati ikan kerana umpan,
Mati tuan kerana budi.
Apa diharap pada jerami,
Habis padi jerami dibuang;
Apa diharap kepada kami,
Muka buruk budi kurang.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak berbaju kasa;
Apa guna memandang cantik,
Kalau tidak berbudi bahasa.
Asam kandis mari dihiris,
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis,
Lebih manis hati budinya.
Ayam hutan terbang ke hutan,
Tali tersangkut pagar duri;
Adik bukan saudara bukan,
Hati tersangkut kerana budi.
Bagaimana kalau tak ikat,
Kait dengan duri-durinya;
Bagaimana aku tak ingat,
Orang baik hati budinya.
Bagaimana nak tanam selasih,
Tanamlah mari di rumpun keladi;
Bagaimana hati nak kasih,
Kasih bercampur denganlah budi.
Baju kebaya disulam kelimkan,
Dipakai mari dara berdandan;
Miskin kaya jangan bezakan,
Budi jadi satu ujian.
Banyak duri perkara duri,
Duri mana duri yang tajam;
Banyak budi perkara budi,
Budi yang mana dikenang orang?
Banyak saya menabur padi,
Padi habis dimakan merang;
Banyak saya menabur budi,
Budi tidak dikenang orang.
Bawa belayar pisang emas,
Masak sebiji di atas peti;
Boleh dibayar hutanglah emas,
Hutang budi dibawa mati.
Bintang di timur cuaca baik,
Cahayanya sampai ke hutan seberang;
Mulut manis hatinya baik,
Itulah budi dikenang orang.
Buah pedada dalam baldi,
Masak nasi hari petang;
Hidup kita biar berbudi,
Hingga mati dikenang orang.
Bukan saya mengejar kolek,
Saya mengejar papan tunda;
Bukan saya mengharap molek,
Saya mengharap budi bahasa.
Bulan puasa memetik kelapa,
Hendak menyambut Aidilfitri;
Budi kami tidak seberapa,
Kenangan diberi kekal abadi.
Bunga kalas dibubuh baja,
Dipetik oleh mem Serani;
Tidak terbalas budi kakanda,
Berapa jauh datang ke sini.
Bunga pandan jauh ke tengah,
Pulau Sari bercabang dua;
Buruk badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.
Burung jeladan singgah di huma,
Anak balam turun ke paya;
Budi laksana sinar purnama,
Manusia alam menumpang cahaya.
Burung pipit burung kedidi,
Hinggap di pokok di tepi sawah;
Jika hidup tidak berbudi,
Ibarat pokok tidak berbuah.
Burung serindit terbang melayang,
Terhenti hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit dipandang orang,
Tapi memandang bahasa dan budi.
Dari Gersik ke Surabaya,
Beli terendak dari Bali;
Sungguh cantik lagi sebaya,
Budi tidak berjual beli.
Dari jauh bermalam datang,
Tetak sangkar pancung kemudi;
Darilah jauh kamilah datang,
Mendengar tuan baik budi.
Dari pauh permatang layang,
Singgah berapat papan kemudi;
Dari jauh abang datang,
Mengenang adik baik budi.
Daun terap di ataslah bukit,
Kapallah menyamun dualah batang;
Jadi kenangan bukanlah sedikit,
Darilah dulu sampai sekarang.
Dirikan pondok bertanam nanas,
Biar saya berburu rusa;
Biar orang melonggok emas,
Saya niaga budi bahasa.
Encik Elok minum di kendi,
Kendi berisi minyak lenga;
Apa dipujuk abang berbudi,
Dalam berbudi banyak terkena.
Hanyut kayu dari bukit,
Dari gunung berkati-kati;
Segunung budi bukan sedikit,
Tidak tertanggung sampai ke mati.
Hari Ahad pergi ke panggung,
Melihat cerita Seri Andalas;
Hati rindu tidak tertanggung,
Budi tuan tidak terbalas.
Hari redup menyemai padi,
Wak Dolah menanam jagung;
Kalau hidup tidak berbudi,
Duduk salah berdiri canggung.
Hendak berbuah buahlah buluh,
Kaki dulang kuparas juga;
Hendak bertuah bertuahlah tubuh,
Budi orang kubalas juga.
Hendak memetik daun palas,
Buat isi buah berangan;
Berbudi bukan minta balas,
Hanya untuk kenang-kenangan.
Inang-inang padi Pak Daik,
Padi tak sama rupa bunganya;
Sungguh kukenang budi yang baik,
Tidak kulupa selama-lamanya.
Jika tuan memanting gambus,
Gambus dipanting si burung pingai;
Bukan tuan memaksa bagus,
Kami memaksa budi perangai.
Jurumudi pegang kemudi,
Nyiur bakul peninjau kerang;
Bukan sebabnya tidak berbudi,
Jangan ketara kepada orang.
Kain batik sama sujinya,
Dalam sumbu tali belati;
Orang baik budi bahasanya,
Diingat juga sampai mati.
Kain berlipat dalam istana,
Pakaian puteri raja kayangan;
Sepatah nasihat ilmu yang berguna,
Secubit budi jadi kenangan.
Kain perai baju pun perai,
Letak mari atas peti;
Hancur badan tulang berkecai,
Budi adik dibawa mati.
Kain songket berkodi-kodi,
Tersusun indah di atas peti;
Biarpun sedikit bernama budi,
Guna menempah jasa bakti.
Kait kelapa kukur kelapa,
Kupas ubi buat pengat;
Hendak kulupa tak terlupa,
Kerana budi sudah terpahat.
Kalau abang pergi ke Daik,
Ikan gelama masak kelapa;
Kalau abang berhati baik,
Sampai bila adik tak lupa.
Kalau ada menanam tebu,
Boleh dijual di pasar desa;
Kalau kita jadi tetamu,
Biar pandai berbudi bahasa.
Kalau ada peria pahit,
Belanga baru jerang udang;
Kalau ada budi baik,
Jadi abu dikenang orang.
Kalau hendak memikat kedidi,
Anak beruk mari dikandang;
Kalau ikhlas hendak berbudi,
Helah jangan ke lain menyimpang.
Kalau tuan bawa kemudi,
Kemudi dibawa di tepi pantai;
Kalau kenang kurang budi,
Sirih layu lekat di tangkai.
Kalau tuan bawa perahu,
Muatan isi buah berangan;
Hendak berbudi biar selalu,
Supaya boleh buat kenangan.
Kalau udang dibuat gulai,
Daging rusa dimasak kari;
Kalau wang jadi pemakai,
Budi bahasa pengiring diri.
Kalaulah pergi ke pekan Nyalas,
Masuk ke balai membeli gelang;
Kalau budi minta dibalas,
Itulah budi tidak dikenang.
Kapal belayar sarat muatan,
Nelayan di laut sedang memukat;
Biar jauh seberang lautan,
Kerana budi terasa dekat.
Kecil-kecil tuanya lidi,
Hendak berkayuh pasir seberang;
Kecil-kecil pandai berbudi,
Hendak sekupang tiada di tangan.
Kemas rumah di waktu senja,
Anak buaya naik mencuri;
Emas intan ada harga,
Budi bahasa sukar dicari.
Lagi berbuah lagi berduri,
Itulah nama asam paya;
Lagi bertuah lagi berbudi,
Itulah nama orang kaya.
Layang-layang terbang melayang,
Putus tali sambung benang;
Siang malam rbayang-bayang,
Budi bahasa terkenang-kenang.
Limau manis batang berduri,
Batang selasih dalam dulang;
Mulut manis kerana budi,
Hati kasih kerana sayang.
Limbai-limbai naik ke lampau,
Anak raja datang bersembah;
Kalau sudah budi terlampau,
Bukannya kurang makin bertambah.
Manis sungguh buah kelubi,
Mari dibungkus dengan kertas;
Pandai sungguh puan berbudi,
Garam tak masin lada pun tak pedas.
Marilah kita menanam padi,
Padi ditanam di dalam bendang;
Marilah kita menabur budi,
Supaya kita dikenang orang.
Masak udang dalam perahu,
Ubi rebus terletak di padang;
Zaman sekarang kalau nak tahu,
Budi hangus menjadi arang.
Menangkap buaya orang Jambi,
Buaya ditangkap di pintu kuala;
Sudahlah kaya pandai berbudi,
Bagailah mana hati tak gila.
Mudik berenang hilir berenang,
Hanyut sampai ke Tanjung Jati;
Budi pun kenang rupa pun kenang,
Tuanlah pandai mengambil hati.
Nanas dijual di pasar niaga,
Ramai orang datang membeli;
Emas perak perhiasan dunia,
Budi bahasa perhiasan diri.
Ombak di laut meniti buih,
Ombak datang dari seberang;
Antara budi dengan kasih,
Mana satu dikenang orang?
Orang Acheh menanam padi,
Padi tumbuh nampak jarang;
Antara kasih dengan budi,
Budi juga dikenang orang.
Orang Daik memasak periuk,
Bawa pergi tanah seberang;
Budi baik kelaku elok,
Ke mana jatuh disayang orang.
Orang Daik pulang ke Daik,
Ambung-ambung bertali benang;
Kalau ada budi baik,
Sampai mati boleh dikenang.
Orang hulu menebang jati,
Orang darat menetak palas;
Kalau nak tahu budi sejati,
Tidak berhajat minta dibalas.
Pacak lokan panggang lokan,
Lokan tersangkut di papan kemudi;
Kakak bukan saudara bukan,
Tersangkut sedikit kerana budi.
Padi perak berdaun suasa,
Buahnya mengurai emas merah;
Sudah berbudi lagi berbahasa,
Itulah tanda bistari bertuah.
Pagi-pagi menanam selasih,
Selasih ditanam di hujung serambi;
Bagailah mana hati tak kasih,
Kerana tuan baik budi.
Pasang air Tanjung Simasta,
Pasang tidak bertenang lagi;
Budi tuan lekat di mata,
Makan tidak kenyang lagi.
Pasang kelambu tepi jendela,
Supaya senang pintu dikunci;
Biar beribu dara dan janda,
Saya memilih yang baik budi.
Penat sudah saya kemudi,
Tidak sampai ke Pulau Daik;
Penat sudah mencampak budi,
Tidak juga dapat baik.
Pilih-pilih buah kedondong,
Cari yang manis tiada bijinya;
Pilih-pilih muda sekampung,
Yang hitam manis baik budinya.
Pipit ampat dibilang anam,
Terbang tinggi meninggalkan sarang;
Sakit diubat mati ditanam,
Itulah budi kenangan orang.
Pisang emas bawa belayar,
Diletak budak di atas peti;
Hutang emas dapat dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Pok-pok bunga di kendi,
Dalam kendi berkaca bunga;
Ikut turut mengenal budi,
Dalam budi saya terkena.
Pokok keladi di tepi paya,
Bunga teratai kembang bertaut;
Kalau berbudi pada yang kaya,
Sama mencurah garam ke laut.
Pokok pauh tepi permatang,
Pokok pandan di birai perigi;
Dari jauh hamba nan datang,
Mendengar tuan yang baik budi.
Puas sudah menanam ubi,
Nanas datang dari seberang;
Puas sudah menanam budi,
Emas juga dipandang orang.
Pucuk belinjau si daun seranti,
Sayang kembang pasang pagi;
Hati risau tidak terperi,
Kekasih tidak mengenang budi.
Pucuk manis pucuk langgudi,
Daun purut digetus rusa;
Yang manis bernama budi,
Yang indah itu bahasa.
Pucuk palas si daun palas,
Tetak mari beranti-ranti;
Bukan berbudi minta balas,
Asal ingat dalam hati.
Pulau Daik banyak kelapa,
Pulau Karimon banyak pegaga;
Budi baik payah dilupa,
Beribu tahun dikenang juga.
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang dua;
Hancurlah badan dikandung tanah,
Budilah baik dikenang juga.
Pulau Pisang Pulau Pauh,
Sampai ketiga Pulau Kemudi;
Kami datang dari jauh,
Kerana hendak membalas budi.
Rumah buruk serambi tak baik,
Serai seulas di dalam dulang;
Rupa buruk budi pun tak baik,
Apa guna kepada orang.
Sapu tangan bersiring hijau,
Oleh membeli kedai Yahudi;
Luka di tangan kerana pisau,
Luka di hati kerana budi.
Sapu tangan jatuh ke laut,
Jatuh ke laut dengan alasnya;
Amboi berat budi disambut,
Sambut dengan tiada balasnya.
Sayang muara tidak berbukit,
Banyak bukit di Batu Karang;
Budimu tuan bukan sedikit,
Dari dahulu sampai sekarang.
Sayang Pak Uda menahan racik,
Umpannya kelkatu dalam pinggan;
Kalau ada budi yang baik,
Menjadi abu orang kenangkan.
Sekoci belayar di Lautan Hindi,
Singgah sebentar mengangkat taut;
Jangan dibiar kedapatan budi,
Takut kecundang kasih berpaut.
Semenjak kentang dibuat gulai,
Ubi tidak dikari lagi;
Semenjak wang jadi pemakai,
Budi jarang dipeduli lagi.
Sudah reka baru dikarang,
Ikan di laut ibarat bakorang;
Dari dahulu sampai sekarang,
Budi tuan diingatkan orang.
Sungguh indah Tanjung Lumpur,
Tempat lalu kapal dagang;
Hati gundah rasa terhibur,
Budi yang baik punca kenang.
Tabir-tabir kayu dilintang,
Katak makan si daun ubi;
Perlahan-lahan apa dirunding,
Syukur mendapat orang berbudi.
Tanam ubi digali ubi,
Gali ubi di tepi telaga;
Sudah banyak saya berbudi,
Budi yang mana yang tuan suka?
Tebang kayu buatkan sampan,
Sampan dibuat siap kemudi;
Ikan mati kerana umpan,
Manusia mati kerana budi.
Tebing Tinggi kampung ternama,
Nampak dari Kuala Segamat;
Bila teringat budi yang lama,
Berubah hati berdebar semangat.
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek hanyut ke tanjung;
Budi terkenang mulut tersebut,
Budi baik rasa nak junjung.
Tinggi bukit gilang-gemilang,
Air di laut tenang-tenangan;
Budi sedikit manakan hilang,
Itu nama kenang-kenangan.
Tuk Batin mengait kelapa,
Hendak dijual bulan puasa;
Tuan miskin tidak mengapa,
Asalkan pandai berbudi bahasa.
Ubi kentang perkara ubi,
Ubi setela dalam dulang;
Budi banyak perkara budi,
Budi yang mana disuka orang?